"MUJAHIDAH SOLEHAH"
Diri ini hanyalah insan yg terlalu biasa..namun, ingin bergelar :

"HAMBA terbaik buat Yang Maha Pencipta, ANAK solehah buat ibu bapa, ISTERI sejati buat suami tercinta, IBU mithali buat anak-anak kurniaan Allah Taala..serta seorang SAUDARA yang sentiasa mengingati keranaNYA.."

Saturday, October 30, 2010

POLIGAMI PILIHAN WANITA DI BAUCHI..


“Sejak awal kedatangan Islam, kami diberi kefahaman bahawa lelaki dibenarkan kahwin empat.”

Mengikut tradisi dalam masyarakat Bauchi, kanak-kanak perempuan yang sudah pandai memegang senduk akan diajar untuk memasak dan menyediakan makanan. Melalui kemahiran ini, ramai anak perempuan sudah mampu membuat makanan sendiri dan menjualnya di kaki lima untuk membiayai pelajaran mereka selain membantu keluarga.

Namun pihak kerajaan negeri Bauchi sedang membenteras aktiviti peniaga pejalan kaki terutama kalangan kanak-kanak perempuan. Kini kesedaran wanita terhadap pendidikan meningkat, malah ada yang cenderung membina kerjaya sebelum berkahwin. Walaupun bekerja, tetapi segala kerja rumah pasti dibereskan terlebih dulu. Bangun seawall pagi, menyediakan makanan dan memastikan anak-anak ditinggalkan dengan baik, barulah wanita itu melangkah ke luar rumah.

Hubungan Erat

Lelaki pertama yang saya kenali sebaik sahaja saya berpijak di bumi Nigeria adalah Muhammad, Setiausaha Akhbar Kerajaan Negeri Bauchi. Khabarnya beliau sudah mempunyai empat isteri. Sebenarnya bukan sahaja beliau, tetapi poligami merupakan fenomena biasa di sana. Seorang wanita berjawatan tinggi berkata, “Sejak awal kedatangan Islam, kami diberi kefahaman bahawa lelaki dibenarkan kahwin empat’. Kebanyakan lelaki berkahwin lebih daripada satu adalah kalangan mereka yang berkemampuan. Malah wanita Bauchi akui lelaki mereka berkepimpinan dan berpelindung.

(Anak-anak gadis Bauchi yang menutup aurat)

Kenyataan itu terbukti benar apabila Gabenor Bauchi, Alhaji Dr Ahmadu Adamu Mu’azu berkata, “Saya beri keutamaan kepada wanita. Saya memelihara dan melindungi wanita.” Beliau berkata demikian dalam sebuah majlis makan malam di kediamannya ketika meraikan kedatangan delegasi Yayasan Restu ke negeri tersebut. Sebenarnya kenyataan itu terlontar dari mulut pemimpin tersebut tanpa disedari. Secara langsung ia mengesahkan pandangan sama wanita Bauchi.

Tidak hairanlah mengapa persepsi masyarakat Bauchi ini agak berbeza dengan di Malaysia yang begitu sensitif mengenai poligami. Namun terdapat lelaki yang tahu ‘mengukur baju di badan sendiri’ dengan beristeri satu. Contohnya, Sheikhu yang menjadi pemandu kepada delegasi kami memiliki seorang isteri dan ramai anak. Katanya, dia tidak perlu berkahwin lebih kerana cukuplah yang satu itu. Dia sendiri sanggup mengikat perut asalkan ahli keluarga cukup makan.

Menyentuh budaya poligami di sana, hubungan antara isteri dan madu begitu baik. Contohnya, Emir dari Ninggi yang mempunyai tiga isteri. Menurut salah seorang anak pemimpin itu, apabila ada majlis keramaian, isteri-isteri inilah yang akan membantu menjemput tetamu, memasak dan menyediakan makanan. Mereka tinggal berasingan, tetapi dalam satu kawasan. Hubungan antara anak-anak mereka juga rapat apabila sentiasa bersama melakukan aktiviti.

Penulis kagum dengan sikap masyarakat Bauchi yang masih kuat berpegang dengan ajaran Islam. Setiap kali azan, pasti segala urusan dunia diketepikan dan kaum Adam akan segera menunaikan solat tidak kira di mana sahaja mereka berada.


(SUMBER : www.majalah.iluvislam.com)

No comments:

Post a Comment